Monday, August 15, 2011

Fasal 2: Kepentingan Ilmu Tauhid dalam Islam


Bismillah...

"Dan orang kafir pula, amalan mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkakan air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju kearahnya) sehingga apabila sampai ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkakan itu, (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan dia tetap mendapat hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya) dan (ingatlah) Allah amat segera hitungan hisabNya." (an-Nur:39)

Assalamualaikum....

Kadang-kala timbul tanda tanya dalam diri kita apabila kita melihat ramainya dari kalangan orang-orang kafir melakukan amalan-amalan baik dan menunjukkan akhlak yang baik melebihi umat Islam sendiri. Bagaimana dengan amalan mereka? Apakah Allah masih menerima amalan mereka? Ayat Allah di atas memberi gambaran bagaimana perhitungan Allah terhadap orang-orang kafir. Amalan yang dilakukan oleh orang-orang kafir yang tidak beriman ini hanya akan menjadi sia-sia dan mereka tetap akan diberi hukuman oleh Allah kelak. Persoalannya di sini, mengapa pula berlaku demikian? Adakah kita ingin mengatakan yang Allah itu sungguh tidak adil?

Allah Hanya Menerima Amal Orang -orang Yang Beriman

Definisi 'beriman' bagaimana yang berlegar-legar dikotak fikiran kita sepintas ayat diatas dibacakan? Sedari kecil kita telah memahami konsep iman apabila topik ini sentiasa menjadi topik SPOT yang sering keluar dalam peperiksaan Pendidikan Islam. Apatah lagi mereka yang bersekolah di sekolah-sekolah agama, seawal usia tujuh tahun lagi mereka sudah diperkenalkan dengan konsep beriman dari kaca mata Islam. Alhamdulillah. Kepercayaan kepada Allah, kitab-kitab Allah, utusan-utusan Allah, malaikat-malaikat Allah, yaumul Qiyamah dan Qada' dan Qadar Allah semua ini adalah tunjang kepada keimanan umat Islam. Tanpa ini semua, kehidupan seseorang itu akan menjadi tidak tentu arah de
k kerana tiada baja asas yang menyuburi diri seseorang tersebut. Namun, adakah sekiranya kita sukses dalam menghafal keenam-enam tunjang keimanan ini kita sudah boleh dikira beriman? Persoalan ini juga yang sering saya tanya pada diri saya yang jawapannya sudah saya tahu, TIDAK.

Bagaimana menilai keimanan diri sendiri?

Seorang yang benar-benar beriman menjalani kehidupannya berlandaskan apa yang ditentukan Allah dan menjauhi larangannya, dia melakukan tiap-tiap perkara kerana Allah, mengharapkan redhaNya, mengharapkan ganjaran pahalanya, dan mengimpikan kehidupan abadi di syurga. Ciri-ciri yang saya sebutkan tadi jika difikirkan, kembali semua kepada enam perbincangan tauhid atau lebih dikenali dengan rukun iman yang saya telah sebut sebelum ini. Sekiranya kita menghayati keenam-enamnya, untuk menjadi individu beriman itu, mungkin tidak sesukar yang kita bayangkan sekarang.

Orang yang tidak beriman kepada Allah tidak akan melakukan amalan kerana Allah. Mungkin amalan yang dilakukan keranan manusia atau harta. Dia tidak mengharapkan keredhaan Allah dan melakukan sesuatu tanpa berfikir halal haramnya. Dia sangat cintakan dunia kerana dia tidak mempercayai kehidupan selepas mati itulah yang abadi. Sejauh mana amal yang dilakukan tidak akan membawa sebarang makna sekiranya kalimah syahadah tidak bertakhta di hati. Sebagaimana yang dikhabarkan dalam ayat Allah diatas, amalan mereka ibarat riak sinaran panas ditanah rata, atau kini dikenali sebagai fatamorgana atau dalam Bahasa Inggeris disebutmirages (kalau tak salah saya) Moga kita dijauhkan dari golongan sebegitu.

Perumpamaan

Sebagaimana sebuah kisah yang diceritakan, ada seorang lelaki (lelaki A) yang sedang berjalan-jalan lalu terjumpa sebuah kebun. Dia masuk ke kebun itu, makan dan minum hasil daripada tanaman dan ternakan di kebun itu, dan dia juga bekerja di situ. Datang juga seorang lelaki (lelaki B) yang menjumpai kebun itu, dia juga ingin bekerja di kebun itu, lantas dia mencari tuan empunya kebun tersebut. Dia meminta kebenaran untuk bekerja di kebun itu lalu diberikan kebenaran. Tuan kebun menunjukkan cara-cara yang betul untuk bercucuk tanam dan menjaga ternakan kepada lelaki B. Lelaki B bekerja dengan rajin dan mengikut cara-cara yang diajarkan tuan kebun. Berbeza dengan lelaki A, dia bekerja dengan sesuka hatinya. Tuan kebun melihat lelaki A lalu menunjukkan cara yang betul kepadanya. Namun, dia mengendahkan tuan kebun dan berbuat sesuka hati. Apabila tiba masa mengutip hasil, siapakah menurut pandangan anda layak diberi upah? Lelaki A atau B?

Begitulah diumpamakan perbezaan orang yang beriman dan orang kafir. Tidak semestinya juga kita yang lahir dari keluarga Islam disangka sudah betul-betul beriman. Berdoalah supaya Allah sentiasa membimbing hati kita lurus di jalan yang diredhainya. Aminn...

"Wahai Tuhan kami, janganlah engkau pesongkan hati kami setelah mana engkau memberikan petunjuk kepada kami. Berikanlah kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang Maha Pemberi."

Wednesday, June 22, 2011

Tauhid: Fasal 1 Ilmu Tauhid


Definisi Ilmu Tauhid

S: Apakah definisi ilmu Tauhid?

J:Ilmu Tauhid adalah ilmu yang membahaskan perkara yang membuktikan kebenaran akidah Islam.

Sumbernya ialah dalil-dalil aqli (akal) dan naqli (al-Quran dan hadith) yang diyakini dapat menghapuskan keraguan. Ia juga adalah ilmu yang mendedahkan segala kebatilan orang kafir, keraguan dan pendustaan yang mereka lakukan.

Jiwa akan menjadi tetap dan hati akan menjadi lapang dengan keimanan jika mempelajari ilmu ini.

Firman Allah yang bermaksud, " Maka adakah orang yang mengetahui bahawa al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang yang berakal sempurna." (ar-Ra'd:19)

Bidang perbahasan Ilmu Tauhid

S: Apakah bidang perbahasan ilmu Tauhid?

J:
  1. Keimanan kepada Allah
  2. Keimanan kepada para rasul Allah
  3. Keimanan kepada semua kitab Allah
  4. Keimanan kepada para malaikat
  5. Keimanan kepada hari akhirat
  6. Keimanan kepada takdir yang ditentukan Allah
Keenam-enam bidang perbahasan ini lebih dikenali sebagai Rukun Iman bagi sebilangan dari kita.

Firman Allah bermaksud, " Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan juga orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah dan malaikat-malaikatNya dan kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya." (al-Baqarah:285)

Apabila ditanya tentang Iman, Baginda bersabda: "Hendaklah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhirat dan beriman dengan ketentuan (qadar) baik dan buruk daripadaNya."

Kedudukan Ilmu Tauhid Berbanding Ilmu Lain

S: Dimanakah kedudukan ilmu Tauhid berbanding ilmu lain?

J: Kemuliaan sesuatu ilmu terletak kepada kemuliaan topik yang diperbahaskan. Sebagai contoh, jika ilmu Medicine dikira lebih mulia daripada ilmu pertukangan, ini kerana skop perbahasan ilmu pertukangan berkaitan kayu-kayan, sedangkan ilmu Medic berkaitan tubuh badan manusia. Begitu juga ilmu Tauhid.

Adakah perkara yang lebih mulia daripada Pencipta alam semesta yang tiada tandingtaranya ini? Adakah manusia yang lebih suci daripada para rasul yang telah dipilih Allah? Adakah ilmu yang lebih mulia daripada ilmu mengenali Tuhan dan Pencipta manusia?

Ilmu Tauhid adalah asas kepada ilmu Islam dan ia adalah ilmu yang paling mulia dan paling penting berbanding ilmu lain secara keseluruhannya.

Tahap Kewajipannya

S: Apakah hukum mempelajari ilmu Tauhid? Fardhu ain atau fardhu kifayah?

J: Fardhu ain bagi umat Islam, lelaki dan perempuan. Hukumnya wajib mempelajari sehingga memberi keteguhan dalam hati dan ketenangan akal yang seseorang itu di jalan yang benar.

Fardhu kifayah untuk perbincangan yang lebih mendalam. Sekiranya ada segolongan umat islam yang berkumpul untuk mendalami perbincangan ini, maka tidak dikenakan kepada umat Islam yang lain.

"Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah." (Muhammad:19)

Kecuaian Orang Islam terhadap Ilmu tauhid

S: Apakah yang akaan menimpa umat Islam sekiranya mereka mencuaikan ilmu Tauhid?

J: Orang Islam ini akan diserang dan dirosakkan oleh kefasada yang berleluasa. Kerosakan ini akan merebak kepada akhlak dan tindakan mereka.

Lalu dengan mudah, orang Kafir menjajah pemikiran, tanah dan negara mereka.

Rujukan
Entry ini saya olah daripada kitab yang dikarang oleh Abdul Majid Aziz Az-Zindani berjudul Kitab Tauhid. Moga perkongsian kita ini bakal menjanjikan Mardhatillah dari Yang Esa. InshaAllah.

Bismillah Pembuka Bicara


Bismillah...

Alhamdulillah aku panjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan limpah nikmat dan inayahNya, aku masih lagi mampu meneguk udara milikNya, Tanpa rahmat dan kasih sayang Allah SWT, tidak mungkin hati ini digerakkanNya untuk memilih memanfaatkan diri ini dan orang lain. Moga Allah memberi aku istiqamah dalam mencari ilmuNya di dunia yang penuh onar ini. Moga Allah sentiasa memimpin kita agar sentiasa bersama-sama orang-orang yang soleh dan diredhaiNya. Amiiin...

Firman Allah:"Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperlihatkan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa mungkin dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman?"

Wallahualam...