Wednesday, June 22, 2011

Tauhid: Fasal 1 Ilmu Tauhid


Definisi Ilmu Tauhid

S: Apakah definisi ilmu Tauhid?

J:Ilmu Tauhid adalah ilmu yang membahaskan perkara yang membuktikan kebenaran akidah Islam.

Sumbernya ialah dalil-dalil aqli (akal) dan naqli (al-Quran dan hadith) yang diyakini dapat menghapuskan keraguan. Ia juga adalah ilmu yang mendedahkan segala kebatilan orang kafir, keraguan dan pendustaan yang mereka lakukan.

Jiwa akan menjadi tetap dan hati akan menjadi lapang dengan keimanan jika mempelajari ilmu ini.

Firman Allah yang bermaksud, " Maka adakah orang yang mengetahui bahawa al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang yang berakal sempurna." (ar-Ra'd:19)

Bidang perbahasan Ilmu Tauhid

S: Apakah bidang perbahasan ilmu Tauhid?

J:
  1. Keimanan kepada Allah
  2. Keimanan kepada para rasul Allah
  3. Keimanan kepada semua kitab Allah
  4. Keimanan kepada para malaikat
  5. Keimanan kepada hari akhirat
  6. Keimanan kepada takdir yang ditentukan Allah
Keenam-enam bidang perbahasan ini lebih dikenali sebagai Rukun Iman bagi sebilangan dari kita.

Firman Allah bermaksud, " Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan juga orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah dan malaikat-malaikatNya dan kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya." (al-Baqarah:285)

Apabila ditanya tentang Iman, Baginda bersabda: "Hendaklah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhirat dan beriman dengan ketentuan (qadar) baik dan buruk daripadaNya."

Kedudukan Ilmu Tauhid Berbanding Ilmu Lain

S: Dimanakah kedudukan ilmu Tauhid berbanding ilmu lain?

J: Kemuliaan sesuatu ilmu terletak kepada kemuliaan topik yang diperbahaskan. Sebagai contoh, jika ilmu Medicine dikira lebih mulia daripada ilmu pertukangan, ini kerana skop perbahasan ilmu pertukangan berkaitan kayu-kayan, sedangkan ilmu Medic berkaitan tubuh badan manusia. Begitu juga ilmu Tauhid.

Adakah perkara yang lebih mulia daripada Pencipta alam semesta yang tiada tandingtaranya ini? Adakah manusia yang lebih suci daripada para rasul yang telah dipilih Allah? Adakah ilmu yang lebih mulia daripada ilmu mengenali Tuhan dan Pencipta manusia?

Ilmu Tauhid adalah asas kepada ilmu Islam dan ia adalah ilmu yang paling mulia dan paling penting berbanding ilmu lain secara keseluruhannya.

Tahap Kewajipannya

S: Apakah hukum mempelajari ilmu Tauhid? Fardhu ain atau fardhu kifayah?

J: Fardhu ain bagi umat Islam, lelaki dan perempuan. Hukumnya wajib mempelajari sehingga memberi keteguhan dalam hati dan ketenangan akal yang seseorang itu di jalan yang benar.

Fardhu kifayah untuk perbincangan yang lebih mendalam. Sekiranya ada segolongan umat islam yang berkumpul untuk mendalami perbincangan ini, maka tidak dikenakan kepada umat Islam yang lain.

"Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah." (Muhammad:19)

Kecuaian Orang Islam terhadap Ilmu tauhid

S: Apakah yang akaan menimpa umat Islam sekiranya mereka mencuaikan ilmu Tauhid?

J: Orang Islam ini akan diserang dan dirosakkan oleh kefasada yang berleluasa. Kerosakan ini akan merebak kepada akhlak dan tindakan mereka.

Lalu dengan mudah, orang Kafir menjajah pemikiran, tanah dan negara mereka.

Rujukan
Entry ini saya olah daripada kitab yang dikarang oleh Abdul Majid Aziz Az-Zindani berjudul Kitab Tauhid. Moga perkongsian kita ini bakal menjanjikan Mardhatillah dari Yang Esa. InshaAllah.

No comments:

Post a Comment